Ketika lahirnya nama yang sudah diilhamkan Allah adalah Yunus Afifuddin. Namun ilham itu diberikan bukan kepada satu orang. Lalu dinamakan Adam Afifiddin.
Ketika lahirnya dia nampak sihat. Namun Allah memberikan ujian berupa kasih sayangnya agar si bapa boleh mempelajari sesuatu, mengenal sesuatu, memperkatakan sesuatu, memikirkan sesuatu dan apa saja demi anaknya. Walaupun akhirnya si bapa dipersalahkan menjadi penyebab sakit yang anaknya tanggung.
Namun bagi si bapa itu semua ujian Allah dengan penuh kasih sayangnya agar boleh mempelajari yang tidak diketahui kepada tahu apakah ia...menanam kasih sayang di antara keluarga dan adik beradik di dalam keluarga.
Bersungguh-sungguh untuk anaknya walaupun tidak dilihat oleh sesiapapun. Berjuang untuk anaknya dan anak-anak yang lain walaupun sekadar memikirkan terlebih dahulu kemudian bertindak walaupun terpaksa bersendirian.
Seorang bapa yang rindukan anaknya ini walaupun sekadar si bapa keluar mencari rezeki sebagai guru biasa di sekolah rendah. Berjawatan biasa di sekolah rendah. Bergaji biasa tanpa ijazah.
Setiap kali pulang dari bekerja, si bapa mengambil anak-anaknya dan anak ini. Di mana saja dia ditinggalkan sementara. Bila orang lain yang mengambilnya si bapa dan adik beradiknya bimbang, tertanya-tanya di mana dia? Ke mana dia? Di bawa ke mana dia? Walaupun si bapa tahu bersama siapa dia.
Setiap kali tengahari menjelang petang, si bapa akan menggendong anak ini bersama duduk di dalam kereta biasa-biasa menghantar abang dan kakaknya menuntut ilmu agama, sehingga anaknya ini tertidur di dalam kereta yang murah harganya.
Ketika masih lena, si bapa membuainya dengan alunan zikrullah sambil menyuapkan sebotol susu bancuhan si bapa. Bila terjaga anaknya ini menangis semula, si bapa memangkunya dan memujuknya meskipun anak ini masih belum tahu apa-apa.
Bila anak ini sudah tenang, si bapa memandikannya, memperkemaskannya, si bapa juga ingat ubat-ubatnya yang perlu diminumnya seperti mana yang dipesankan oleh doktor yang merawatnya. Si bapa ingat itu semua walaupun ada orang yang menyangka si bapa tidak tahu apa-apa.
Selesai itu semua, si bapa membancuh susu untuk bekalannya, maka berangkatlah si bapa bersama anaknya untuk mengambil abang dan kakaknya yang menuntut ilmu agama. Sepanjang perjalanan sehinggalah senja, abang dan kakaknya lah yang bermain bersamanya. Begitulah sepanjang waktu bekerja dan bersekolah.
Ketika anak ini terpaksa bertemu doktor yang merawatnya, si bapa cuma menaiki kereta buruknya bersendirian sejauh lebih 500 kilometer. Ibu dan anaknya menaiki kenderaan yang tidak memenatkan. Itulah rezeki Allah walaupun si bapa tidak berupaya tetapi ada yang membantunya walaupun si bapa tahu disuatu masa akan diungkit semula.
Ketika sampai si bapa cuma berehat sebentar di kereta buruknya sebelum menjelang siang untuk rawatannya. Setelah selesai si bapa berangkat semula dengan jarak dan masa perjalanan yang sama demi anaknya. Di ketika perjalanan si bapa memikirkan bagaimana pula abang dan kakaknya yang ditinggalkan.
Suatu ketika, anaknya seharian tidak bersama si bapa dan si bapa tahu anaknya ini bersama siapa dan di mana. Menunggu sehingga hampir petang. Dan bila saja anak ini pulang, si bapa diberikan gelaran " BabySitter" bagi anaknya sendiri. Namun si bapa tidak memperdulikan itu semua kerana si bapa juga memang punya jawatan itu untuk anaknya.
Di suatu waktu, si bapa di marahi kerana mengambil anaknya ini dari di mana dia ditinggalkan sementara ketika tengahari. Entah apa sebabnya. Namun si bapa tidak peduli kerana ingin bersama anaknya.
Ketika mana anaknya ini dicadangkan untuk rawatan di luar negeri. Si bapa bermati-matian mencari punca untuk kos dan keperluan walau tidak siapapun mengetahui. Kerana tidak seharusnya tahu apa yang dipikul si bapa untuk anaknya. Namun si bapa ini tidak disenarai untuk mengiringi dan bersama anaknya ke luar negeri. Namun si bapa terima kerana benar jika si bapa pergi, siapakah yang bersama abang dan kakaknya nanti.
Ketika tengahati, seperti biasa si bapa pulang dari mencari rezeki, singgah di mengambil abang dan kakaknya di mana mereka mencari ilmu, namun abang dan kakaknya sudah tiada, lalu si bapa ke tempat di mana anak ini biasanya berada, namun anak ini juga tiada. Pulanglah si bapa sendiri dan ketika sampainya pintu berkunci.
Mencarilah si bapa di mana anak-anaknya selalu pergi, namun anak-anaknya juga tidak kelihatan. Sehinggalah terbit fajar.
Bermula dari tegaknya matahari di hari sebelumnya sehinggalah ke hari ini si bapa sudah tidak menemui anaknya ini sejak umurnya setahun lebih dan kini hampir 6 tahun.
Si bapa cuma ada gambar-gambar anaknya ini yang terjumpa secara tidak sengaja melalui laman-laman sosial.
Betapa rindunya si bapa pada anai ini walaupun si bapa tahu bahawa anak ini tidak mengenali bapanya sendiri. Namun ketika kecilnya si bapa acapkali membisikkan ke telinga anak ini " Cari abah bila besar nanti."