..

..

Friday, July 25, 2014

SELAMAT MENYAMBUT AIDIL FITRI 2014 ANAK-ANAKKU



الحمد لله والصلاة والسلام على رسول الله ، وعلى آله وصحبه ومن اتبع هداه ، أما بعد


Buat anak-anak abah...

يوسف عزام الدين

ماشيطة

نور العتيقة

ادم عفيف الدين

Barangkali di ketika-ketika ini kamu sedang menanti munculnya Syawal.
Barangkali di ketika-ketika ini kamu sedang sibuk membantu apa saja mama dan keluar lakukan buat
persiapan.
Barangkali di ketika-ketika ini di dalam hati kecil kamu tidak langsung mengingati apa saja yang ada pada manusia hamba Allah yang amat kecil. 

Semua keadaan-keadaan itu abah maklum. Lalu ianya sebenarnya itulah kehidupan. Manakalah kehidupan itu adalah anugerah Allah untuk kita semua renungi dan mengenang di waktu lalu sebagai panduan dan pengajaran hidup, supaya lebih baik dan mencapai Mawaddah Wa Rohmah. 

Mudah-mudahan ada di antara kamu yang kebetulan melewati tempat ini, membacanya dan menyampaikannya kepada setiap kamu. Itulah yang abah harapkan. Kerana untuk bertemu kamu, abah tahu bahawa abah diharamkan untuk berbuat demikian atas dasar hukum manusia dan rasa hormat. Hormat kepada ahli keluarga walaupun abah pernah di usir, diludahi, diugut seperti anak-anak kecil,  dihina sehingga keturunan, dikeji sehingga datuk nenek yang juga darah daging kamu, dikatakan punca segala penyakit yang kamu hadapi, dikatakan sebagai punca kematian, dikatakan sebagai punca ketidak seimbangan kehidupan adik kamu ادم sehingga mendapat penyakit sedemikian. Namun demi Allah, abah tidak sedikitpun menyimpan dendam dan sedikitpun tidak ingin berburuk sangka. Kerana di suatu waktu sebelum ini, kita semua bantu membantu, tolong menolong, sesama rasa, berkongsi, maka bagi abah itu semua kebaikan yang halal maka tidak perlu diharamkan hanya kerana dendam dan sakit hati. Kerana itu semua sudah pasti akan mematikan hati.


Pada hakikatnya abah merindui kamu, mengingati kamu, memikirkan kamu hanya kerana kasi sayang seorang bapa dan hanya kerana kasih sayang abah itu Kerana Allah Ta'ala walaupun abah bukanlah seorang abah yang agung seperti para Anbiya' atau Ulama'. Abah cuma diciptakan Allah sebagai Abah yang amat lemah keimanan. Namun kasih sayang yang Allah anugerahkan di dalam hati abah iaitu kasih sayang terhadap
anak-anak tetap wujud. Walaupun Allah menjanjikan bahawa anak-anak adalah hiburan dan fitnah di dalam hidup. Namun pada hakikatnya itulah sebenarnya ujian bagi seorang bapa seperti abah.

Abah tahu, tidak semua kamu yang membenci abah dan tidak semua kamu yang kasihkan abah. Namun itulah hakikat seorang bapa yang menunjukkan kasihnya dengan cara berbeza. Namun tidak semua manusia begitu. Abah yang kamu kenal, maka itulah abah. Walaupun barangkali tanggungjawan amanah Allah itu tidak kelihatan di atas bahu, hakikatnya itulah yang abah tanggung.

Sentiasa dalam kebimbangan, sentiasa dalam keresahan, sentiasa dalam ketakutan hanya kerana amanah abah terhadap Allah yang diberikanNya sebagai amanah untuk kamu. Apapun yang kamu lakukan, apapun yang kamu perkatakan menggunakan lisan, apapun kekhilafan kamu maka abahlah manusia yang akan dipertanggungjawabkan di sana nanti. Dan abah akui semua itu, kerana abah sendiri khilaf sehingga lagho dan lalai mengajarkan apa saja yang ada di dalam DIIN kita kepada kamu. Abah tidak malu untuk mengakui itu semua.

Walau seburuk manapun abah, bahawa abah sayangkan kamu anak-anak abah semua. Walaupun barangkali kamu tidak pernah mahu menerima hakikat bahawa abah pernah mengazankan kamu, membisikan iqomah di telinga kamu, membisikan pengakuan perjanjian kamu kepada Allah sebelum kamu dipinjamkan ruh. memandikan kamu, menyucikan kamu, memakaikan pakaian kamu, mendukung kamu, menepuk kamu,
membuai kamu, menggoncangkan air minuman kamu, menyuapkan makanan kamu, mengubati kamu, melindungi kamu dari apa saja yang menyakitkan kamu, memimpin tangan kamu, menukarkan lampin kamu, risaukan kamu walau tidak berkata-kata, memeluk kamu, menasihati kamu, memarahi khilaf kamu, mencukupkan keperluan kamu malah entah apa lagi. Namun itulah abah. Manusia yang tidak sehebat dan sekaya mana yang kamu sendiri saksikan. Kamu kamu kenal. Manusia yang tidak punya harta, tidak punya rumah, manusia yang sering menumpang yang akhirnya kamu juga ikut menumpang. Manusia yang cuma ada simpanan RM50 sebulan hanya sekadar simpanan di kala kesempitan. Itulah abah. Walaupun kamu sendiri terasa jijik untuk menyentuh kulit abah.

Sekarang kamu sudahpun di alam remaja, adik kamu di alam mumaiyizz, maka itulah tandanya Allah sayangkan kamu. Dan abah tahu, tanpa abahpun kamu lebih mampu memiliki apa sahaja yang kamu impikan yang tidak mampu untuk abah janjikan apa lagi berikan. Abah tahu kehidupan kamu lebih hebat berbanding dulu. Sudah tidak perlu menumpang sesiapapun atau diusir oleh sesiapapun berbanding abah dulu.

Apapun ampunkan salah dan khilaf abah, samada qowli dan fi'li. Ingatlah siapapun kamu, abah tetap menyayangi kamu, merindui kamu, walau pada hakikatnya bahawa kamu jijik melihat abah apa lagi untuk menyentuh kuit abah yang berwarna hitam dipenuhi tulang.
SELAMAT HARI RAYA AIDILFITRI .








Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...